Saturday, September 5, 2009

Gaji amah tak munasabah

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) menganggap cadangan Kerajaan Indonesia yang mahu gaji pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada RM800 sebulan sebagai tidak munasabah untuk dilaksanakan kini.

Selain menganggap kadar itu agak tinggi dan menyukarkan majikan serta agensi pembantu rumah, Presiden Papa, Datuk Raja Zulkepley Dahalan turut membangkitkan soal mutu pembantu rumah dibekalkan negara itu.

“Pada prinsipnya, gaji dicadangkan tidak sesuai dilaksanakan kini. Sebenarnya kualiti pembantu rumah yang perlu diberi keutamaan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan media Indonesia, kerajaan negara itu akan mengemukakan usul gaji pembantu rumah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 sebulan pada Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Kerja Malaysia-Indonesia bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia di Jakarta, hari ini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar turut mengumumkan syor itu di depan 400 pekerja Indonesia pada majlis berbuka di sini, Khamis lalu.

Kenyataan Dai yang disiarkan Kompas.com dilaporkan sebagai berkata, majikan di Malaysia yang mahu melanjutkan tempoh kerja pembantu rumah Indonesia diminta membayar gaji sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

Isu struktur harga masih tertunggak sejak Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kerja pada 2007 akibat kegagalan Indonesia kemukakan struktur harga baru untuk dipertimbangkan Malaysia.

Raja Zulkepley yang turut menyertai delegasi Malaysia berkata, Papa mengharapkan keputusan positif dan memberi manfaat kepada semua pihak dapat dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu hari ini.

Pada Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kerja itu di sini pada 20 Ogos lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah diberi cuti sehari seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport ketika di negara ini.

Raja Zulkepley yang turut menyertai delegasi dari Malaysia untuk membincangkan perkara itu di Jakarta berkata, Papa mengharapkan keputusan positif dan memberi manfaat kepada semua pihak dapat dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja itu hari ini.

Beliau turut mencadangkan kadar gaji maksimum pembantu rumah yang mungkin boleh dipersetujui antara Indonesia dan Malaysia adalah antara RM600 hingga RM650 sebulan.

“Bagi Papa, kadar gaji itu lebih realistik dan mampu ditanggung majikan. Kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara lain dalam menentukan kadar gaji pembantu rumah dari Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam ketika dihubungi berkata, beliau akan membuat ulasan lanjut berhubung perkara itu selepas mendapat laporan pegawainya yang menyertai mesyuarat jawatankuasa kerja itu. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...