Friday, September 11, 2009

Bukan hukum warga Indonesia: KDN

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Tindakan pemutihan mulai November bagi bersihkan negara daripada pendatang asing

PUCHONG: Kerajaan menafikan tindakan pemutihan pendatang tanpa izin yang akan dilaksanakan November ini bukan bermaksud menghukum mana-mana warga negara terutama rakyat Indonesia yang tinggal secara haram di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebaliknya tindakan itu adalah satu daripada proses yang dirancang kerajaan bagi membersihkan negara daripada pendatang tanpa izin.

“Tindakan pemutihan bukan hendak menghukum pendatang tanpa izin khasnya rakyat Indonesia. Malah, dalam situasi begini, kita tidak akan hukum rakyat negara itu di sini.

“Saya berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan berkata pemutihan kerana hendak menghukum rakyat Indonesia, sedangkan tindakan ini sudah dilaksanakan bertahun dulu,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melawat Balai Polis Bukit Puchong, Balai Polis Bandar Puteri dan merasmikan kewujudan Pondok Polis dan Balai Polis Bergerak Bandar Puteri yang juga dikenali sebagai kawasan panas (hotspots) di sini, semalam.

Lawatan kerja beliau ke Puchong adalah lawatan pertama ke balai polis yang terletak di kawasan panas kerana kerap berlaku jenayah terutama ragut.

Puchong dipilih menjadi lokasi pertama lawatan kerana bandar itu disenaraikan antara 50 kawasan panas yang dikenal pasti di seluruh negara mencatatkan kes jenayah tertinggi.

Hishammuddin berkata, tindakan pemutihan fasa ketiga selepas ini akan lebih tertumpu di Sabah.

kerana kerajaan amat serius menangani kebanjiran mereka di negeri itu.

Sementara itu, katanya, kerajaan mengingatkan rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan emosi dan rentak segelintir rakyat Indonesia yang menganjurkan kempen ‘Sapu Malaysia’ dengan melakukan perkara yang sama terhadap rakyat Indonesia di negara ini. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...