Saturday, September 12, 2009

Budak warga asing kutip sedekah diperalat sindiket


AMPANG: Ibu sekadar menonton televisyen di rumah manakala anak diarahkan berkeliaran memungut sedekah.

Itulah tindakan zalim yang giat dilakukan segelintir warga asing bagi mendapatkan wang mudah sebanyak mungkin sempena bulan Ramadan ini.

Lebih mengejutkan apabila kegiatan terbabit turut didalangi sindiket yang membekal dokumen bil hospital palsu bagi meraih simpati orang ramai menghulurkan wang.

Seorang penduduk Ukay Perdana, Shamsul Abas Liani, 40, berkata, kegiatan sindiket pengemis kanak-kanak berkenaan dibongkar selepas dia terserempak dengan beberapa kanak-kanak berkeliaran meminta sedekah berhampiran sebuah bank di Taman Melawati di sini.

Katanya, kanak-kanak lelaki berkenaan yang berbaju Melayu tanpa songkok (gambar) dilihat berkeliaran di luar sebuah bank sambil menunjukkan sekeping kertas kepada orang ramai.

“Riak wajah sedih budak dipercayai warga Myanmar itu berjaya meraih simpati umum,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh masa kurang setengah jam, kanak-kanak terbabit berjaya memungut wang menjangkau sehingga RM80.

“Curiga dengan aktiviti kanak-kanak terbabit, saya menyoal kanak-kanak berusia 10 tahun berkenaan sebelum bertanya tujuan kutipan derma itu dilakukan.

“Dalam keadaan wajah ketakutan, kanak-kanak terbabit yang fasih berbahasa Melayu mendakwa mengutip sedekah bagi membayar bil rawatan ibunya yang sakit di hospital,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian meneliti surat bil hospital berkenaan sebelum mendapati ia tertera nama seorang wanita berserta jumlah bil mencecah RM3,000.

“Bagaimanapun, selepas diteliti lebih lanjut, bil hospital fotostat berkenaan didapati palsu dan dipercayai sengaja dicetak pihak tertentu sebagai modal aktiviti memungut sedekah.

“Kanak-kanak berkenaan yang diaju soalan bertalu-talu akhirnya membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa surat bil terbabit diberikan seorang lelaki kepadanya.

“Malah, lebih mengejutkan apabila kanak-kanak terbabit memberitahu ibunya tidak sakit atau terlantar di hospital sebalik berada di rumah,” katanya.

Katanya, kanak-kanak lelaki terbabit yang menangis ketakutan mendakwa diarahkan beberapa lelaki termasuk ibunya supaya meminta sedekah di sekitar daerah Ampang dengan menaiki bas.

“Mungkin kerana diasak dengan pelbagai soalan, dia memberitahu aktiviti terbabit turut dilakukan oleh beberapa kanak-kanak lain yang diarah berpakaian baju Melayu sebelum mengutip sedekah.

“Dia memberitahu, aktiviti terbabit membolehkannya memperolehi kutipan wang ihsan sehingga RM100 sehari dan semua wang berkenaan akan diserahkan kepada ibu atau lelaki yang mengarahkannya menjalankan kegiatan,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...