Monday, September 28, 2009

Bakal amah mungkin tunggu lebih lama

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Amah Indonesia yang telah mendaftar dengan agensi pekerjaan di negara mereka untuk bekerja di Malaysia terpaksa menunggu sehingga arahan pembekuan sementara pembekalan amah ditarik balik.

Ini kerana Indonesia hanya akan membenarkan rakyatnya masuk ke negara ini sebagai amah selepas Akta Kerja 1955 selesai dipinda oleh kerajaan Malaysia.

Perkara tersebut ditegaskan Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryanata ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Katanya, rundingan antara wakil kerajaan kedua-dua negara mengenai cadangan pindaan akta tersebut belum dapat dimuktamadkan dan mungkin berlarutan untuk beberapa bulan lagi.

Oleh itu jelasnya, selagi belum ada sebarang arahan terbaru dari kerajaan Indonesia, maka pembekuan itu akan berterusan demi kebajikan bakal amah sendiri.

''Itu keputusannya. Kerajaan Indonesia tetapkan selagi Akta Kerja Malaysia tidak selesai dipinda maka selagi itu pembekuan sementara ini akan berkuat kuasa.

''Soal ini jelas. Tujuannya untuk kebaikan warga Indonesia yang mahu bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Ini kerana mereka juga yang akan beroleh manfaat apabila pindaan terbaru akta itu dilakukan,'' katanya.

Mingguan Malaysia dalam laporan muka hadapannya mendedahkan lebih 4,000 wanita Indonesia kini hanya menantikan lampu hijau untuk berkhidmat di negara ini di sebalik pelbagai laporan negatif media republik itu terhadap Malaysia.

Kesemua wanita itu yang sudah mendaftar dengan agensi pekerjaan kini sudah berada di pusat-pusat latihan pembantu rumah di beberapa daerah di Indonesia dan bersedia bila-bila masa sahaja untuk dihantar ke Malaysia.

Alasan mereka mudah iaitu lebih selesa bekerja di sini kerana adat, budaya, bahasa, agama serta gaya hidup yang tidak jauh berbeza dengan di Indonesia.

Berdasarkan maklumat Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), kebanyakan mereka yang bersedia menjadi amah di negara ini adalah mereka yang berasal dari daerah pedalaman dan sangat memerlukan pekerjaan untuk menanggung keluarga.

Ketika ini terdapat 300,000 pembantu rumah berdaftar di negara ini yang rata-ratanya datang dari daerah pedalaman Indonesia dan memiliki pendidikan tahap sederhana serta rendah.

Menurut Widyarka, pihaknya sendiri tidak dapat mengagak bila tarikh sebenar pembekuan sementara itu akan ditarik balik.

Kata beliau, proses rundingan antara kerajaan Indonesia dan Malaysia yang sudah berlangsung sebanyak beberapa siri mungkin berlarutan untuk tempoh yang agak lama lagi.

Sehubungan itu, jelasnya, mereka yang dilaporkan telah mendaftar dengan agensi pekerjaan di Indonesia harus bersabar untuk sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi sebelum hasrat mereka dapat ditunaikan.

''Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang seterusnya dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

''Setakat ini sudah empat kali ia diadakan. Kita lihat bagaimana persetujuan boleh dicapai tentang permintaan-permintaan yang dikemukakan,'' ujarnya.

Menurutnya, apabila semua perkara itu diselesaikan barulah disusuli dengan pindaan Akta Kerja bagi membolehkan ia dikuatkuasakan kerajaan Malaysia. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...