Wednesday, September 16, 2009

Amah perompak

SUBANG JAYA: Jatuh cinta dengan koleksi set pinggan mangkuk berjenama dan barangan perhiasan mewah milik majikannya mendorong seorang amah warga Indonesia bertekad menyewa lori satu tan bagi mengangkut semua set berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Pembantu rumah berusia 38 tahun terbabit hanya memilih set pinggan mangkuk buatan luar negara selain permaidani dan langsir milik majikannya selepas merancang perbuatan jenayah itu sejak lebih tiga bulan lalu.

Majikan suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 52, berkata dia langsung tidak percaya kejadian terbabit menimpanya berikutan pembantu rumah yang dikenali Lindawati atau Leni dianggap seperti adik kandung.

Menurutnya, Leni yang berasal dari Medan mula bekerja dengannya sejak tiga tahun lalu selepas dia membayar lebih RM3,000 kepada ejen pembantu rumah tempatan.

“Sejak mula bekerja di rumah saya, Leni menunjukkan sikap lemah-lembut dan rajin menguruskan rumah kami walaupun saya suri rumah tangga sepenuh masa.

“Sukar untuk percaya Leni sanggup melakukan perbuatan jenayah terancang itu berikutan dia kerap menunaikan solat lima waktu selain membaca al-Quran hampir setiap malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tembelang sebenar pembantu rumahnya itu hanya terbongkar Ahad lalu apabila tuan rumah berkenaan dan suami keluar untuk mengambil anak lelaki mereka berusia 11 tahun yang tamat menghadiri perkhemahan di sekolah.

“Saya dan suami keluar rumah kira-kira jam 10 pagi sebelum pulang semula tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, perasaan curiga timbul apabila mendapati Leni tidak muncul untuk membuka pintu seperti kebiasaannya. Akibatnya saya yang puas memanggil namanya dari pintu pagar terpaksa menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami bagaimanapun terkejut apabila mendapati pintu jeriji besi di belakang rumah terbuka dengan kunci dicampak ke lantai dapur.

“Ketika itu baru saya menyedari pelbagai set pinggan mangkuk dan barang perhiasan hilang. Malah, semua beg pakaian milik Leni turut tiada dalam biliknya.

“Beberapa jiran berhampiran mendakwa sempat melihat pembantu rumah saya itu keluar dan membuat panggilan telefon di pondok telefon berdekatan,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lori satu tan muncul dan masuk ke lorong di belakang rumah teres didiami sebelum berhenti tidak jauh dari pintu belakang rumahnya.

“Ketika itu, pembantu rumah saya mengusung keluar puluhan kotak berisi barang curi yang dimuatkan dalam lori berkenaan. Apabila beberapa jiran bertanya, Leni dengan selamba memberitahu kononnya tuan rumah mahu berpindah.

“Dia terus cabut lari bersama perkakas dapur, koleksi pinggan mangkuk dibeli dari United Kingdom, permaidani, langsir, baju serta basikal milik suami saya yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM10,000,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka segala kebaikannya selama ini dibalas ‘racun’ oleh pembantu rumah terbabit sedangkan dia tidak pernah berkasar apatah lagi meninggikan suara.

“Selain gaji RM450 sebulan yang dibayar tetap, makan dan pakaiannya turut disediakan. Perbuatannya itu sekali gus membuktikan kehilangan misteri wang tunai dalam rumah sebelum ini turut dilakukan Leni.

“Sebelum ini, kerap kali wang saya atau suami hampir RM3,000 lesap, namun kami menyangka ia disorokkan makhluk halus tanpa mengesyaki ia perbuatan Leni,” katanya.

Susulan itu, mangsa yang masih menyimpan pasport milik suspek membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya di sini.

“Saya percaya dia masih berada di negara ini dan orang ramai yang mengenalinya diminta menghubungi polis supaya dia dapat diberkas dan dihukum,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...