Saturday, September 19, 2009

60 PATI terselamat


Pendatang asing tanpa izin Indonesia terbaring keletihan di Pelabuhan Klang, selepas diselamatkan dari sebuah bot yang hampir karam di Selat Rawa, semalam.

PELABUHAN KLANG 18 Sept. - Tragedi 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia maut setelah bot mereka karam di Pintu Gedong di sini sehari sebelum Aidilfitri tahun lalu, hampir berulang hari ini.

Semuanya gara-gara sekumpulan 60 PATI dari negara itu cuba menyusup keluar dari kawasan Selat Rawa di Pulau Ketam dekat ini awal pagi ini.

Namun, ketika bot yang dinaiki hampir karam dan mereka nyaris lemas, Pasukan Gerakan Marin (PGM) tiba memberi bantuan.

Menurut Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Pelabuhan Klang, Asisten Komisioner Nordin Osman, pihaknya sudah mendapat maklumat bahawa sebuah bot membawa pendatang Indonesia cuba menyusup keluar dari negara ini beberapa hari lalu.

Katanya, hasil risikan itu rondaan dipertingkatkan yang membawa kepada penemuan bot tersebut di kawasan berkenaan sekitar pukul 6.50 pagi ini.

"Ketika tiba di situ, bot yang dipercayai mula belayar pukul 2 pagi sudah hampir tenggelam kerana kiri dan kanan bot dimasuki air.

"Tetapi tindakan pantas anggota marin memindahkan mereka ke atas bot peronda RH10 berjaya mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian sebuah bot karam sebelum Aidilfitri tahun lalu, 12 warga Indonesia maut manakala 91 lagi terselamat dan kejadian itu juga berlaku di perairan Pelabuhan Klang.

Nordin berkata, kesemua 60 PATI itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Mereka terdiri daripada 36 lelaki, 17 perempuan berumur bawah 45 tahun dan lapan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 4 tahun. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...