Friday, September 4, 2009

40 peratus pekerja ladang Felda rakyat tempatan menjelang 2020

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mensasarkan peningkatan jumlah pekerja ladang rakyat tempatan di ladang-ladang miliknya sehingga 40 peratus menjelang 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, ketika ini sebahagian besar daripada pekerja ladang Felda adalah warga asing dan hanya 18 peratus rakyat tempatan.

Jelasnya, pertambahan pekerja ladang tempatan amat penting kerana apabila kontrak pekerja asing tamat, Felda akan mengalami masalah serius untuk mengusahakan tanah yang ada.

"Walaupun tenaga kerja atau buruh tempatan di tanah rancangan Felda adalah tertinggi berbanding pengusaha sektor perladangan lain, kami kurang berpuas hati kerana majoriti pekerja itu adalah warga asing.

"Pertambahan pekerja di kalangan rakyat tempatan amat penting bagi menampung keperluan pekerja di ladang Felda jika negara mengalami krisis ekonomi yang memaksa kerajaan mengurangkan pekerja asing," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Felda dan Utusan Malaysia di Hotel Hilton di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Pengiklanan, Adi Satria.

Mohd. Yusof berkata, langkah pembatalan visa yang mungkin diteruskan kerajaan ke atas pekerja asing dalam pelbagai sektor termasuk perladangan setakat ini tidak menimbulkan sebarang masalah kepada Felda.

"Kami akan sentiasa mengadakan kempen bagi menggalakkan generasi baru di kawasan Felda bekerja dengan kami apabila mereka tamat belajar.

''Peratusan rakyat tempatan yang bekerja di ladang adalah rendah kerana mereka mempunyai banyak pilihan berbanding warga asing yang datang ke negara ini tanpa pendidikan tinggi dan bersedia menceburi sektor perladangan," katanya.

Beliau seterusnya mengulangi kesediaan Felda untuk menawarkan kemudahan rumah dan gaji yang lebih lumayan kepada rakyat tempatan yang menceburi bidang perladangannya.

Jelasnya, tawaran berkenaan adalah salah satu kempen Felda bagi menggalakkan rakyat tempatan menyertai sektor perladangan dengan Felda. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...