Wednesday, September 2, 2009

3 suspek curi besi cerucuk ditahan

JOHOR BAHRU 1 Sept. - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang dipercayai bertanggungjawab mencuri 545 batang besi cerucuk bernilai RM200,000 di sebuah tapak pembinaan di Taman Desa Cemerlang di sini, Sabtu lalu.

Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis juga percaya dapat menyelesaikan 10 kes curi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejayaan itu diperoleh setelah polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Taman Ungku Tun Aminah di sini, pada pukul 10.15 pagi pada hari sama.

Katanya, suspek ditahan semasa sedang memandu sebuah lori membawa muatan 25 tan besi cerucuk yang dipercayai hasil curi.

"Polis kemudian membuat tangkapan susulan ke atas seorang lagi lelaki berusia 32 tahun di Taman Bukit Kempas.

"Lelaki berkenaan dipercayai menjadi pembeli barang-barang curi tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Mokhtar, hasil siasatan lanjut, polis membuat tangkapan ketiga ke atas seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai dokumen sah disyaki terlibat bersama-sama rakannya yang masih bebas di tapak pembinaan di sekitar Johor Bahru.

Katanya, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Mohd. Mokhtar berkata, dua rakyat tempatan itu ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat ini manakala lelaki warga asing itu ditahan selama 14 hari di bawah Akta Imigresen.

"Pihak polis juga sedang berusaha mengesan beberapa rakan suspek warga Indonesia itu bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd. Mohktar berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...