Wednesday, September 30, 2009

25 pendatang Myanmar 'sesat' tengah bendang kena tahan

KANGAR: Sekumpulan 25 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar ditemui berkeliaran di kawasan sawah di Kampung Tok Pulau, dekat Simpang Empat, di sini, awal pagi semalam, selepas diperdaya dan ditinggalkan sekumpulan pemandu teksi dalam gelap.

Semua mereka, termasuk lima kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun yang berdepan risiko ditahan tidak mempunyai pilihan selepas ditinggalkan kecuali bersembunyi di petak sawah berkenaan dalam keadaan gelap dan sejuk, sementara memikirkan cara untuk meneruskan perjalanan ke destinasi mereka di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, hasrat mereka itu tidak kesampaian apabila kehadiran mereka di situ dapat dihidu anggota risik Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan itu, sepasukan anggota UPP diketuai Sarjan Muhd Noor Muhd Isa, dikerahkan ke lokasi untuk menyiasat sebelum menahan mereka.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata pihaknya terpaksa mengepung kawasan sawah itu sebelum berjaya menahan semua 25 warga Myanmar itu yang berkeliaran di tengah sawah.

Berdasarkan maklumat katanya, semua mereka dikesan memasuki negara ini secara haram melalui ladang tebu Chuping dengan berpan-dukan pengalaman seorang daripada mereka yang dikatakan pernah bekerja di Malaysia sebelum ini.

Beliau berkata, mereka yang berjalan kaki merentasi ladang tebu Chuping kemudian cuba mendapatkan khidmat beberapa teksi untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, selepas sewa teksi dibayar, kumpulan pendatang itu diperdaya dan ditinggalkan kumpulan pemandu teksi dalam kawasan gelap berhampiran kawasan sawah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, semua yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah. Mereka kemudian dibawa ke Pejabat UPP Kuala Perlis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Pihak berkuasa masih menyiasat dalang yang membantu mereka masuk ke negara ini dan menguruskan mereka ke Pulau Pinang. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...