Wednesday, September 16, 2009

2 warga Bangladesh dibunuh

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


SEREMBAN 15 Sept. - Seorang pekerja warga Bangladesh yang bangun untuk bersahur di sebuah asrama pekerja, terkejut apabila menemui mayat dua rakannya yang dibunuh dengan kejam.

Mayat Abdul Kader Fazer Ali, 22, dan Shahin Md. Amir Hossai, 24, ditemui dengan beberapa kesan kelaran di leher dan tikaman pada badan.

Kejadian berlaku di asrama pekerja sebuah kilang di Taman Kemuning Senawang, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian.

Kejadian itu, katanya, dipercayai berlaku sekitar pukul 2 pagi. Namun, ia hanya disedari oleh pengawal keselamatan di asrama tersebut pukul 4.10 pagi ketika salah seorang penghuni asrama terbabit bangun untuk bersahur.

''Sebaik sahaja menerima laporan, polis terus bergegas ke asrama itu yang menempatkan pekerja Bangladesh di kilang Pertanian Pertiwi Sdn. Bhd. di Senawang,'' kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, polis menemui seorang mangsa di tempat tidur, manakala seorang lagi ditemui di dapur asrama berkenaan, di mana kedua-duanya terdapat kesan kelar pada leher dan tikaman di beberapa bahagian badan.

''Kita juga menemui seorang lagi mangsa dalam keadaan cedera. Dia yang berusia lingkungan 20-an dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk rawatan kecemasan. Keadaannya kini stabil,'' jelas beliau.

Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

''Polis juga menemui dua bilah pisau dan dua garpu dengan kesan darah yang dipercayai digunakan seorang suspek.

''Di luar kawasan asrama itu, polis menemui satu helai baju dan seluar jeans yang mempunyai kesan darah, dipercayai milik suspek,'' tegas beliau.

Osman menjelaskan, asrama berkenaan menempatkan 17 pekerja warga Bangladesh dengan permit kerja sah. Ketika kejadian, terdapat empat orang pekerja berada di kilang, sementara sembilan lagi tidur dan tidak menyedari dua rakan mereka dibunuh dan seorang dicederakan.

''Sehingga kini, cuma seorang sahaja yang masih gagal dikesan dan telah menghilangkan diri. Kes ini tiada kena mengena dengan samun kerana tidak ada kesan pecah masuk dalam bilik asrama tersebut,'' tegas beliau.

Sehubungan itu, polis sedang mencari seorang lelaki Bangladesh, Olier Sheikh, 26, yang juga pekerja di kilang berkenaan bagi membantu siasatan kes ini.

Osman berkata, kesemua sembilan pekerja yang berada dalam asrama ketika kejadian itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk diambil percakapan, sementara polis menunggu mangsa yang cedera itu pulih untuk diambil keterangannya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...