Wednesday, September 2, 2009

1,678 pemohon dipanggil semula


Sebahagian pemohon warganegara Malaysia yang menghadiri sesi temu duga di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 1 Sept. - Seramai 1,678 permohonan rakyat asing untuk menjadi warganegara Malaysia dipanggil semula untuk ditemuduga bagi memproses permohonan mereka yang tertangguh.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 32,927 permohonan keseluruhan sejak 1997 hingga 2006 yang gagal menghadiri temu duga kali pertama berikutan kes-kes tertentu.

Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jariah Mohd. Said berkata, kes-kes tertentu adalah berkaitan pemohon gagal dikesan disebabkan pertukaran alamat, maklumat tidak lengkap serta pemohon tiada dalam negara.

''Mereka dipanggil semula menerusi iklan yang disiarkan dalam surat khabar serta melalui laman web rasmi KDN dan mereka diberi peluang untuk ditemu duga.

''Bagaimanapun, permohonan selain kes-kes tersebut turut dipanggil untuk menjalani sesi temu duga bermula hari ini sehingga 16 September ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi temuduga pemohon warganegara yang dihadiri kira-kira 150 pemohon untuk sesi hari ini, di sini hari ini.

Jariah berkata, semua permohonan bakal diselesaikan selewat-lewatnya akhir tahun ini yang sehingga kini lebih 50 peratus daripada jumlah tersebut telah pun siap.

Katanya, status permohonan sama ada berjaya atau sebaliknya bergantung kepada syarat kelayakan permohonan yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Malaysia.

''Kesemua 32,927 permohonan adalah terdiri daripada pelbagai kategori termasuk pemohon diri sendiri, isteri kepada warganegara, anak angkat, anak yang lahir luar negara serta anak yang tidak ada status," katanya.

Dalam pada itu, Jariah berkata, KDN menasihatkan semua pemohon supaya memaklumkan kepada kementerian sekiranya telah bertukar alamat atau sebagainya bagi memudahkan proses mengemaskini permohonan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...