Friday, September 4, 2009

11 tekong darat ditahan

JOHOR BAHRU: Seramai 11 warga tempatan yang disyaki menjadi 'tekong darat' untuk sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di negeri ini, ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen, tengah hari semalam, di Taman Puteri Wangsa, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, di sebuah rumah di Jalan Rembia 2 taman perumahan berkenaan, 39 pendatang tanpa izin warga Indonesia berusia antara 20-an dan 50-an termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun turut ditahan.

Selain itu, Jabatan Imigresen turut merampas 11 kenderaan termasuk dua van, satu teksi dan lapan kereta yang dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk mengangkut pendatang tanpa izin keluar dan masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Abdul Aziz Mohd Sab, berkata pihaknya sudah sejak seminggu lalu, membuat intipan di rumah berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai serta hasil risikan anggota penguat kuasa.

"Kita percaya sindiket berkenaan aktif menyeludup masuk serta keluar pendatang tanpa izin di sekitar Sungai Tiram, Ulu Tiram dan Sungai Rengit, Kota Tinggi ke Batam, Indonesia sejak beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah itu disewa sebagai transit sindiket terbabit. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...