Saturday, August 8, 2009

Utara: Kerjasama dua hala kekang seludup manusia

GEORGETOWN: Kemantapan kerjasama pasukan keselamatan dua negara melalui Jawatankuasa Serantau Sempadan (RBC) Malaysia-Thailand berjaya memastikan sempadan itu tidak mudah dicerobohi terutama penyeludupan manusia.

Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata kejayaan itu melalui perkongsian maklumat dan rondaan anggota kedua-dua negara di kawasan sempadan.

“Bagaimanapun, hasil kerjasama erat kedua-dua negara, aktiviti penyeludupan di sempadan tidak membimbangkan dan terkawal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat RBC di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Kawasan Empat Thailand, Leftenan Jeneral Pichet Wisaijorn.

Raja Mohamed Affandi berkata, kedua-dua negara memberi jaminan sempadan Malaysia-Thailand selamat dan tidak mudah dicerobohi hasil kerjasama erat dan perbincangan bersama mempertingkatkan kawalan keselamatan di situ.

"Pada ketika ini, kawalan di sempadan kedua-dua negara amat terkawal melalui RBC yang merangkumi kawalan darat, laut, udara, risikan, pengurusan sempadan dan bencana alam," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat RBC kali ke-92 itu membincangkan kejayaan aktiviti yang dilaksanakan jawatankuasa terbabit termasuk kawalan dan pengurusan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, mesyuarat itu juga membincangkan kerjasama lain yang boleh dijalinkan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan sempadan antara dua negara berterusan.

Selain itu, katanya, kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan bersama terutama membabitkan pengurusan bencana di kedua-dua negara.

"Pasukan RBC akan memastikan ancaman di sempadan diatasi sekali gus berupaya memberi keyakinan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan itu menjalankan tugasan harian mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai penyeludupan manusia di sempadan, beliau tidak menafikan aktiviti itu ada berlaku tetapi ia masih terkawal dengan kerjasama Malaysia dan Thailand.- Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...