Saturday, August 8, 2009

Siasatan buang pekerja tempatan siap 3 hari

PULAU PINANG 7 Ogos - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang memberi jaminan akan menyelesaikan setiap aduan yang diterima mengenai kegiatan pemberhentian pekerja tempatan oleh majikan di negeri ini dalam masa tiga hari.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang, Hoe Leow Fatt berkata, selepas tempoh tersebut, satu laporan terperinci akan disediakan JTK untuk membolehkan tindakan susulan diambil terhadap majikan termasuk mendakwa mereka di mahkamah.

Justeru, JTK memberi amaran terhadap semua majikan di negeri ini supaya tidak mengutamakan pekerja asing sehingga sanggup memberhentikan pekerja tempatan ekoran kegawatan ekonomi global.

''Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Pekerja 1955 terhadap majikan yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu.

''Namun, sehingga kini, belum ada majikan di negeri ini yang diambil tindakan mengikut akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis promosi Program Penempatan Pekerjaan Peringkat Pulau Pinang di tempat letak kereta Bangunan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Program yang disertai oleh 60 majikan dalam sektor pembuatan itu akan diadakan di Dewan Milenium, Kepala Batas dekat sini bermula 15 Ogos selama dua hari dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang.

Program tersebut menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja.

Menurut Leow Fatt, pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja yang mendakwa mereka diberhentikan bagi membolehkan pekerja asing diambil bekerja oleh majikan.

''Dalam memastikan keberkesanannya, JTK negeri telah menubuhkan Skuad Khidmat Cepat untuk menyiasat aduan yang diterima daripada pekerja terlibat.

''Tetapi setelah siasatan secara terperinci dilakukan, kita dapati tiada bukti kukuh yang boleh menyabitkan majikan tersebut bersalah. Ada majikan yang terpaksa mengehadkan jumlah jam dan hari bekerja untuk menjimatkan kos tetapi bukan untuk menggaji pekerja asing dan memberhentikan pekerja tempatan," katanya.

Menurut Leow Fatt, JTK sentiasa berusaha memainkan peranan dalam melindungi pekerja tempatan dalam keadaan kegawatan ekonomi global terutama melindungi hak-hak mereka.

''Dalam masa tiga hari setiap aduan yang kita terima akan selesaikan dengan laporan yang terperinci. Jika terbukti bersalah, majikan terlibat akan terus diambil tindakan selanjutnya.

''Justeru, JTK meminta mereka yang mengalami sebarang kesulitan mendapatkan kerja atau diberhentikan kerja melaporkan kepada kita supaya kita dapat membantu mereka secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Leow Fatt berkata, sehingga Februari lalu, sebanyak 2,193 pekerja telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan melalui Program Penempatan Pekerja yang dijalankan secara berterusan oleh JTK. - Utusan Malaysia.

1 comment:

  1. Great line up. We will be linking to this great article on our site. Keep up the good writing.Thanks for sharing this one. A must read article.dateing sites

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...