Saturday, August 8, 2009

Polis selamatkan 10 wanita dipaksa jual diri

PULAU PINANG 7 Ogos - Polis menahan 10 wanita warga asing yang dipaksa menjual diri di sebuah pusat hiburan di Jalan Gurney di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, serbuan dilakukan di pusat hiburan yang pernah dua kali diserbu sebelum ini.

Dalam serbuan itu, katanya, lapan wanita warga China dan dua warga Vietnam yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan.

"Polis mengenal pasti dalang di sebalik perbuatan keji ini dan akan menyerahkannya kepada pihak pendakwaan.

"Pusat hiburan ini telah diserbu untuk kali ketiga dan mereka masih tidak serik-serik lagi seolah-olah mahu mencabar kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai Program Kepolisan Komuniti bersama penduduk di Pulau Aman, Seberang Perai Selatan di sini hari ini.

Kesemua wanita itu kini ditahan reman dan ditempatkan di pusat perlindungan wanita.

Menurut Ayub, premis itu didapati tidak memiliki lesen hiburan tetapi bebas menjalankan operasi seperti biasa.

"Polis sentiasa memantau jenayah ini kerana tidak mahu negara kita dikenali sebagai pusat perdagangan manusia," jelasnya.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...