Sunday, August 23, 2009

Ops Sapu: 11 warga asing dicekup


ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu di sekitar Sitiawan, Seri Manjung dan Ayer Tawar, kelmarin.


SITIAWAN 22 Ogos - Seramai 11 warga asing termasuk sembilan wanita ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Perak di Seri Manjung, Sitiawan dan Ayer Tawar, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak, Zaidi Dali berkata, semua mereka yang ditahan itu berusia antara 25 dan 43 tahun.

Katanya, Ops Sapu itu bermula pada pukul 5 petang hingga 11 malam hasil maklumat yang diterima daripada orang ramai.

"Ia sebagai usaha untuk mengekang kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial atau memasuki negara tanpa dokumen yang sah," katanya ketika ditemui di Pejabat Imigresen Lumut di sini hari ini.

Zaidi berkata, dalam operasi di Sitiawan, seramai 11 wanita warga Indonesia yang berada di dalam sebuah rumah tumpangan diperiksa dan lima daripadanya ditahan.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kita juga mengesyaki mereka ini melakukan kegiatan tidak bermoral termasuk pelacuran berikutan penemuan beberapa keping kondom," katanya.

Menurutnya, Ops Sapu di sebuah restoran di Seri Manjung pula berjaya menahan tiga wanita warga China dan hasil pemeriksaan turut mendapati mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Katanya, dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Ayer Tawar pula, mereka telah memberkas dua lelaki dan seorang wanita yang merupakan adik-beradik warga Indonesia.

"Kita dapati seorang daripada lelaki itu menyalahgunakan pas lawatan sosial manakala adiknya gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Ketika serbuan dijalankan, adik perempuan lelaki berkenaan cuba menyembunyikan diri di dalam bilik stor di rumah itu. Bagaimanapun, anggota penguat kuasa berjaya mengesannya sebelum ditahan," katanya.

Menurut Zaidi, semua warga asing itu kini ditahan selama 14 hari untuk siasatan dan sekiranya didapati bersalah, tindakan mahkamah akan diambil dengan memendekkan tempoh pas lawatan sosial mereka.

Katanya, mereka juga akan diusir pulang ke negara asal selain disenarai hitam daripada memasuki negara ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...