Thursday, August 6, 2009

Manfaatkan Peluang 1MALAYSIA : Johor tarik RM11.7b pelaburan

JOHOR BAHRU 5 Ogos - Johor berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM11.7 bilion tahun lalu, meningkat 26 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, antara Januari hingga Mei tahun ini pula, sebanyak 54 buah projek dalam sektor pembuatan yang membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM2.4 bilion telah diluluskan di negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah projek yang diluluskan itu, sebanyak RM1.53 bilion atau 60 peratus adalah membabitkan pelaburan langsung asing (FDI).

''Dalam cabaran mengharungi krisis ekonomi global yang masih lagi tiada penamatnya, Johor tidak menunjukkan sebarang kemerosotan pada jumlah pelaburan sejak dari mula lagi.

''Saya penuh yakin kita akan lebih berdaya saing pada tahun ini dan memperoleh lebih banyak pelaburan yang akan menanam modal di negeri ini," katanya semasa merasmikan pembukaan Hotel Thistle Johor Bahru, di sini semalam.

Turut hadir isterinya, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Arifin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan; Pengurus Besar Thistle Johor Bahru, Philip Skitch dan Pengarah Urusan GuocoLand (M) Berhad, Paul Poh.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani berkata, jumlah pelancong ke negara ini antara Januari hingga Mei tahun ini mencecah 9.4 juta orang.
Jumlah berkenaan, menurutnya, meningkat 2.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

''Namun, kita menjangkakan jumlah berlaku sedikit penurunan ekoran keadaan ekonomi dunia dan penularan wabak virus selesema babi atau Influenza A (H1N1)," ujarnya.

Sementara itu, mengenai pembukaan hotel berkenaan, Paul berkata, Thistle Johor Bahru telah memulakan operasinya pada awal bulan lalu selepas melakukan kerja-kerja menaik taraf sejak Januari dengan kos RM30 juta.

Hotel itu menyediakan pusat kecergasan, spa terkini, dua restoran, dua bar, gelanggang tenis, ruang majlis dewan besar yang mampu memuatkan 650 tetamu pada satu masa serta kolam renang luar ala resort.

''Hotel bertaraf lima bintang itu menyediakan 381 bilik penginapan termasuk 125 bilik mewah, manakala bagi tetamu jangka panjang, hotel juga menawarkan 19 unit pangsapuri untuk disewa.
''Tahap piawaian hotel kami, Thistle Johor Bahru memang tiada tandingannya di bandar raya ini. Kami tidak sabar untuk membuka pintu dan menawarkan kepada tetamu sesuatu yang serba baru dengan gaya kontemporari British serta layanan mesra Asia," katanya.

Hotel Thistle merupakan sebahagian daripada Guoman Hotel Management (UK) Limited, dimiliki oleh Guocoland (Malaysia) Berhad, anak syarikat Kumpulan Hong Leong. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...