Thursday, August 27, 2009

Malaysia komited bantu Australia - Hishammuddin


Najib Tun Razak bersama Duncan Lewis (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Penasihat Keselamatan Negara Australia itu di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Hishammuddin Tun Hussein.- BERNAMA

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan komitmen Kerajaan Malaysia untuk membantu Australia menyelesaikan isu pemerdagangan manusia yang membabitkan kedua-dua negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Najib ketika dikunjungi Penasihat Keselamatan Negara kepada Perdana Menteri Australia, Duncan E. Lewis di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ketika pertemuan itu, Najib turut menyatakan bahawa kerjasama dalam bidang baru itu harus dibina berasaskan kepada hubungan sedia ada antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan, perdagangan dan pertahanan.

"Perdana Menteri juga menyifatkan kedua-dua negara berada dalam landasan yang betul apabila mengadakan kerjasama membabitkan isu pemerdagangan manusia memandangkan ia adalah cabaran baru yang timbul akibat fenomena dunia tanpa sempadan.

"Kemahuan politik yang datang daripada peringkat tertinggi kepimpinan Malaysia ini memang amat diperlukan bagi memastikan hubungan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dapat dicapai dengan jayanya ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Malaysia-Australia Mengenai Penyeludupan Manusia dan Pemerdagangan Orang di sini.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop manakala Australia diketuai oleh Lewis.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan wakil-wakil daripada pasukan tentera, agensi penguatkuasaan maritim, imigresen, polis dan kastam kedua-dua negara.

Mesyuarat ini adalah susulan daripada perbincangan antara Najib dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang melawat Malaysia pada 6 Julai lalu mengenai tindakan warga asing termasuk dari Pakistan, Afghanistan dan Iraq yang menjadikan negara ini sebagai transit sebelum menyusup masuk ke negara itu.

Menurut Hishammuddin, antara agenda perbincangan dalam mesyuarat dua hari itu adalah laporan kedudukan penyeludupan manusia, kerjasama pengawasan dan pengurusan pelarian, perkongsian maklumat perisikan dan urusan pendakwaan dan ekstradisi.

Katanya, Malaysia dan Australia juga akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada Februari tahun depan membabitkan isu-isu yang dibincangkan dalam mesyuarat kumpulan kerja berkenaan.

"Saya juga berharap MoU ini akan turut melibatkan beberapa isu lain termasuk usaha bagi menangani ancaman pengganas dan penyeludupan dadah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, mesyuarat Kabinet hari ini telah bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia menganjurkan Persidangan Risikan Lingkaran Pasifik.

"Persidangan yang akan diadakan pada Oktober ini akan membincangkan langkah mewujudkan perkongsian maklumat dan sumber bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...