Friday, August 28, 2009

Malaysia, Australia capai matlamat

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Mesyuarat tertutup antara kerajaan Malaysia dan Australia yang berakhir hari ini berjaya mencapai keputusan dan persetujuan bersama serta mampu menambah baik hubungan dua hala antara kedua belah pihak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau merumuskan mesyuarat kali ini membincangkan banyak perkara termasuk kerjasama dalam perkongsian maklumat, penyiasatan dan perisikan bagi menangani ancaman jenayah di sempadan negara.

"Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cara bagi mengukuhkan lagi kawalan di pintu-pintu masuk negara serta sempadan yang dikenal pasti menjadi transit untuk keluar ke negara ketiga.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mewujudkan pangkalan data yang menghubungkan Interpol dan Aseanpol," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Malaysia-Australia Mengenai Penyeludupan Manusia dan Pemerdagangan Orang di sini hari ini.

Antara agenda perbincangan ialah laporan kedudukan penyeludupan manusia, kerjasama pengawasan dan pengurusan.

Mesyuarat ini adalah susulan perbincangan antara Najib dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang melawat Malaysia 6 Julai lalu mengenai tindakan warga asing dari Pakistan, Afghanistan dan Iraq yang menjadikan negara ini sebagai transit sebelum menyusup masuk ke negara itu.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, kerajaan Australia berpuas hati dengan hasil perbincangan mesyuarat terbabit dan memutuskan untuk mewujudkan kumpulan kerja di semua agensi penguatkuasaan terbabit.

"Kita hendak tetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam dan boleh diaplikasi bersama," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...