Sunday, August 9, 2009

Laksana idea bernas generasi muda

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kerajaan kini melaksanakan pendekatan pengupayaan golongan muda bagi mendapatkan idea bernas mereka untuk memacu pembangunan negara yang lebih cemerlang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tiga ciri pentingnya ialah menghormati permintaan orang muda, menjadikan mereka sebagai rakan kepimpinan dan memberi ruang lebih luas mereka berfikir serta berorientasi mengikut ajaran Islam.

"Orang muda lebih mudah 'duduk semeja', mempunyai pendapat yang bijak dan mampu berbincang lebih rasional walaupun berbeza fahaman politik dan ini sudah terbukti sejak dulu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 di Kompleks MAYC di sini hari ini.

Acara anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) itu bersempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48.

Antara tujuannya ialah memberi makna dan kefahaman jelas mengenai teras-teras kenegaraan dan merintis usaha mengubah Malaysia ke arah lebih baik.

Saifuddin berkata, kerajaan akan mengamalkan dasar terbuka dan memberi peluang kepada golongan muda memberi apa saja pendapat.

Menurutnya, jika pendapat mereka mempunyai kebaikan kepada rakyat dan negara ia akan dibincangkan ke peringkat tertinggi secara terperinci.

"Salah satu usaha kerajaan dalam mengutamakan pendapat golongan muda ini dapat dilihat apabila kerajaan menggubal Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)," katanya.

"Kini golongan muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bebas bersuara dan memberi pendapat mengenai sebarang isu berkaitan negara selagi tidak menyertai demonstrasi haram atau berjuang untuk mana-mana parti," katanya.

Menurut Saifuddin, ketika ini terdapat 50 persatuan mahasiswa berorientasikan Islam di IPT yang membabitkan 15,000 ahli.

Sehubungan itu, katanya, golongan muda boleh menyertai persatuan yang sedia ada untuk menyuarakan sebarang pendapat.

"Walaupun berbeza persatuan, golongan muda yang kaya dengan idea dan cerdik ini perlu mengambil perbezaan di kalangan mereka sebagai rahmat, bukannya titik perpecahan."Apabila kerajaan melaksanakan pendekatan pengupayaan ini, diharap ia merapatkan hubungan dan kerjasama dengan golongan muda," tambahnya. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...