Wednesday, August 5, 2009

Kongsi gelap dalang seludup kenderaan

MIRI 4 Ogos - Kerajaan percaya pertubuhan kongsi gelap mendalangi kemasukan kenderaan pacuan empat roda jenis Kijang dari Indonesia untuk menyeludup barangan dan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, kenderaan itu dibawa masuk dari Tebedu ke Kuching dan berhenti di pintu masuk Brunei di Kuala Baram Miri.

"Kami percaya mereka dilindungi oleh pertubuhan gelap yang menyukarkan tugas penguatkuasaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan majlis dialog di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri petang semalam.

Sehubungan itu, Hoi Chew mencadangkan kepada JPJ melakukan operasi mengejut untuk menahan pemilik kereta sapu yang dikhuatiri terlibat dalam aktiviti penyeludupan haram di negeri ini.

Setakat ini katanya, JPJ telah mengenal pasti kawasan-kawasan operasi kereta sapu serta nombor kenderaan yang terlibat dalam kegiatan haram ini.

"JPJ mempunyai pelan induk untuk mengatasi masalah kereta sapu di negeri ini di mana laporan pertamanya akan dibentangkan pada pertengahan Ogos ini," katanya.

Beliau juga berharap JPJ, polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah ini secepat mungkin. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...