Tuesday, August 18, 2009

Johor: Perkeso buru majikan ingkar

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor kini sedang memburu majikan di seluruh negeri yang tidak berdaftar dengan pertubuhan itu termasuk gagal mendaftar semua pekerjanya menerusi operasi dikenali, Ops Kesan Perkeso, yang dijalankan sepanjang bulan ini.

Timbalan Pengarahnya, Mustafa Draman, berkata Ops Kesan Perkeso yang dijalankan membabitkan lebih 60 anggota Perkeso negeri diketuai beliau, dengan tumpuan syarikat di sekitar Mount Austin, Taman Daya, Pusat Perdagangan Tebrau dan Iskandar Malaysia.

Katanya, kawasan lain ialah Taman Perling, Nusa Indah, Taman Tan Sri Yaakob, Taman Universiti, Pusat Bandar Kota Tinggi serta pusat beli belah sekitar bandaraya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat sebanyak 52,102 majikan sekitar negeri yang berdaftar dengan Perkeso, namun dikhuatiri terdapat banyak lagi majikan yang belum berdaftar dengan pertubuhan itu.

"Kami percaya wujud sebilangan majikan yang memandang remeh terhadap peraturan yang ditetapkan Perkeso, termasuk syarikat yang beroperasi di sekitar kawasan tumpuan.

"Oleh itu, kita akan turun padang melakukan pengesanan dari pintu ke pintu bagi mengesan majikan yang belum berdaftar dengan pertubuhan di samping tidak mendaftar semua pekerjanya," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Katanya, majikan yang tidak berdaftar dengan pertubuhan selain tidak mendaftar semua pekerjanya boleh dikenakan tindakan kompaun antara RM300 hingga RM1,500, atau dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...