Friday, August 21, 2009

Dikeroyok 15 Bangla

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Zaid Salim
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: “Mujur saya masih hidup,” kata Lans Koperal Ariff Mohammad Sidik, 39, yang berdepan maut ketika diserang sekumpulan 15 pekerja asing warga Bangladesh menggunakan kayu dan batu-bata, malam kelmarin.

Tindakan agresif samseng warga asing itu membelasahnya dan rakan setugas, Konstabel Nasrollah Mohd Yusof, 25, menyebabkan dia menyangka akan menemui ajal apabila teruk dibelasah di kepala dan badan.

Bagi menyelamatkan diri, dua anggota dari Pondok Polis Tepuh itu terpaksa melepaskan tiga das tembakan rambang, namun tindakan amaran itu tidak memberi kesan kepada penyerang mereka.

Difahamkan, tembakan rambang itu terkena bahu dua ahli kumpulan itu menyebabkan mereka semakin agresif sehingga merampas pistol jenis Smith & Wilson .38 daripada anggota keselamatan itu.

Kumpulan samseng warga Bangladesh itu turut merampas senjata api, gari, walkie-talkie serta dompet milik mangsa.

Mengimbas detik ngeri itu, Ariff berkata, kejadian berlaku ketika dia dan Nasrollah membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Bukit Jong, Tepuh selepas menerima maklumat berhubung kecurian besi di kawasan itu, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Dengan berpakaian preman, Ariff berkata, dia dan Nasrollah ke kawasan itu dengan menunggang motosikal secara berasingan dan sebaik menghampiri rumah kongsi berhampiran tapak projek itu, sekumpulan warga Bangladesh yang menonton televisyen menyerbu sebelum mengelilingi mereka.

“Selepas mengepung, mereka yang memegang kayu dan batu-bata menyerang menyebabkan kami tidak sempat mengelak dan cuba melarikan diri dengan motosikal.

“Namun, usaha kami gagal apabila mereka mengejar dan membelasah sebelum memaksa kami melepaskan tembakan amaran dan beredar dari kawasan itu selepas merampas senjata dan peralatan lain,” katanya.

Menurutnya, kerana bimbang kumpulan itu kembali ke tempat kejadian, dia mengarahkan Nasrollah melarikan diri dalam kebun getah berhampiran sebelum masing-masing terpisah.

Katanya, disebabkan parah di kepala, dia pengsan sebaik berada di kebun itu dan tersedar kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Dia berkata, sebaik tersedar, dalam kebingungan dan sakit di seluruh badan dan kepala, terpaksa menggagahkan diri menyusuri kebun getah dan menyeberangi Sungai Nerus untuk mencari jalan keluar.

“Dalam keadaan badan semakin lemah, Allah menyelamatkan saya apabila ditemukan dengan seorang penoreh getah yang menunjukkan laluan ke jalan utama kira-kira 500 meter dari kebun itu.

Mengenai Nasrollah, dia difahamkan rakannya itu diselamatkan rakan setugas, Sarjan Aziz Mohd dan Lans Koperal Azmi Mohamad jam 11 malam, kelmarin yang keluar mencari mereka apabila mendapati dua anggota terbabit tidak pulang sebaik keluar ke kawasan rumah kongsi berkenaan, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahalan, berkata kedua-dua anggota terbabit dengan seorang daripada mereka cedera di kepala dirawat di HSNZ dan dilaporkan stabil.

“Polis menemui semula senjata api yang dirampas warga Bangladesh berhampiran tempat kejadian sebelum menemui mangsa jam 11.45 pagi semalam,” katanya, semalam.

Katanya, polis sudah menahan empat pekerja asing di rumah kongsi itu jam 9 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - Harian Metro.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...