Thursday, August 13, 2009

Amaran tarik lesen agensi pekerja asing

PUTRAJAYA 12 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan menarik balik lesen serta permit agensi pekerja asing yang didapati melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, kerajaan juga tidak akan mengeluarkan lesen agensi pekerja asing yang baru dalam usaha mengatasi masalah kebanjiran pekerja asing di negara ini.

Katanya, kedua-dua keputusan itu diluluskan Kabinet hari ini selepas pihaknya menyerahkan memorandum hasil mesyuarat yang sebelum ini diputuskan oleh KDN.

''Syarikat agensi pekerja asing (yang baru) tidak akan dibenarkan lagi.

''Malah, agensi sedia ada iaitu sebanyak 277 buah akan ditarik balik permit dan lesen sekiranya tidak menjalankan kerja seperti yang sepatutnya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan membekukan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh akan diteruskan kerana masalah kebanjiran pekerja asing di negara ini perlu dikurangkan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sektor tertentu yang memerlukan pekerja asing dan tiga kementerian dipertanggungjawabkan mengenal pasti keperluan pekerja asing sektor masing-masing.

Menurutnya, kementerian berkenaan adalah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

''Kita menyerahkan hal-hal berkenaan kepada tiga kementerian terbabit kerana tidak mahu wujud pertindihan dengan KDN,'' katanya.

Mengulas hasil lawatannya ke Australia baru-baru ini, beliau berkata, satu delegasi daripada negara itu akan datang ke negara ini pada 26 Ogos hingga 27 Ogos ini sebagai kunjungan balas bagi membincangkan isu penyeludupan manusia. - Utusan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...