Tuesday, August 18, 2009

Amah pukul bayi menangis

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sanggup memukul anak majikannya yang berusia setahun enam bulan selepas bayi itu menangis kerana ditinggalkan seorang diri.

Pembantu rumah itu dikatakan berbuat demikian kerana bimbang tindakannya mahu melarikan diri diketahui jiran jika bayi berkenaan berterusan menangis.

Ketika berbuat demikian, pembantu rumah berusia 40-an itu merancang melarikan diri dari rumah majikannya di Persiaran Alam Damai, Cheras, tetapi tindakan itu diketahui anak saudara majikan pembantu rumah berkenaan yang kebetulan tinggal bersama.

Menurut sumber, dalam kejadian Sabtu lalu itu, anak saudara majikan pembantu rumah itu menghubungi ibu saudaranya dengan mengatakan pembantu rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan, seperti mahu melarikan diri dari rumah.

Berikutan itu, majikan berkenaan bergegas pulang dan berasa lega apabila mendapati pembantu rumahnya masih berada dalam rumah.

“Namun, majikan itu curiga selepas mendapati pembantu rumahnya memakai pakaian kasual bukan seperti pakaian biasa di rumah,” katanya di sini, semalam.

Disebabkan itu, majikan berkenaan yang mengetahui rancangan pembantu rumahnya bertindak menghubungi ejen pembantu rumah berkenaan untuk memaklumkan hal berkenaan.

Ketika itu, pembantu rumah terbabit mengambil kesempatan melarikan diri namun hampa apabila mendapati pagar rumah berkunci.

Sumber itu berkata, pembantu rumah terbabit dikatakan tidak berputus asa apabila bertindak memanjat pagar rumah berkenaan.

“Pada masa sama, sebuah teksi sudah sedia menunggu di luar rumah sebelum wanita warga asing itu menaiki teksi berkenaan.

“Majikannya yang menyedari kejadian itu cuba menghentikan teksi berkenaan, namun gagal,” katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...