Wednesday, August 19, 2009

Akta Kerja 1955 akan dikaji semula

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kerajaan akan mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan tempoh persaraan yang sama bagi pekerja lelaki dan wanita dalam sektor swasta seperti mana amalan perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian semula itu perlu memandangkan ada syarikat yang mewajibkan pekerja wanita mereka bersara pada umur lebih rendah berbanding lelaki.

Katanya, dalam sektor awam, umur persaraan bagi semua kakitangan sama ada di peringkat bawah atau atas tidak kira lelaki atau wanita ialah 58 tahun.

"Kita mahu swasta mengikut amalan dalam sektor awam yang mana tiada diskriminasi dalam menentukan usia persaraan pekerja. Mereka boleh bekerja sehingga umur 58 tahun tanpa mengira jantina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan dalam sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Wanita 2009 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir.

Salah seorang peserta sidang itu mempersoalkan mengenai terdapat syarikat yang memaksa pekerja wanita bersara pada usia 50 tahun sedang pekerja lelaki 55 tahun.

Muhyiddin berkata, sepatutnya isu itu tidak timbul kerana pada usia 50 tahun pekerja wanita masih produktif dan mampu bekerja dengan baik.

"Kerajaan akan mengambil serius tentang perkara ini kerana jelas ia merupakan satu tindakan diskriminasi terhadap golongan wanita," katanya.

Shahrizat ketika mengulas isu itu mengakui menerima aduan bahawa terdapat syarikat yang bertindak sedemikian sehingga pekerja wanita terbabit merasa teraniaya.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal seperti ini kerana kita tidak mahu wujud amalan diskriminasi terhadap golongan wanita dalam bidang pekerjaan.

"Sudah tiba masanya kerajaan ambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu tersebut," ujarnya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Muhyiddin menggalakkan wanita meneroka bidang baru khususnya berkaitan teknologi seperti teknologi hijau serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Mereka juga digalakkan meneroka bidang yang masih belum dikuasai sepenuhnya seperti eko-pelancongan.

"Bidang-bidang ini sebenarnya mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan," katanya.

Beliau turut meminta kepada syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta memberi lebih banyak tempat kepada wanita memegang jawatan penting sehingga ke peringkat pembuat keputusan.

Menurutnya, saranan itu berikutan jumlah golongan wanita yang memegang jawatan penting dalam GLC dan syarikat masih rendah.

"Pada asasnya kerajaan menyasarkan 30 peratus wanita diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan ini juga perlu dipraktikkan di dalam sektor swasta.

"Ketika ini jumlah wanita memegang jawatan penting dalam GLC ialah 12 peratus manakala jumlah yang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat tidak banyak iaitu sekitar 6.1 peratus pada tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat peningkatan jumlah wanita yang memegang jawatan pengarah urusan sehingga ketua pegawai eksekutif syarikat iaitu daripada 13.5 peratus pada 2004 kepada 26.2 peratus pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, wanita sama hebatnya dengan lelaki dalam apa juga bidang kerana yang paling penting adalah kesungguhan.

Kata Timbalan Perdana Menteri, Islam sendiri tidak pernah membezakan antara lelaki dan wanita dan mereka wajib menunaikan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya jika mahu balasan yang baik daripada Allah. - Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...