Thursday, August 13, 2009

40,000 jururawat am 'mati akal, kecewa'

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kira-kira 40,000 jururawat am di hospital dan klinik kerajaan kini dalam keadaan 'mati akal dan kecewa' berikutan sungutan mereka yang telah lama berhubung usaha meningkatkan skim perkhidmatan mereka tidak diberi perhatian.

''Mereka kini menuntut penyelesaian segera sebelum kerajaan 'kehilangan' mereka kepada sektor swasta,'' kata Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd. Zin hari ini.

Beliau memberitahu Bernama bahawa CUEPACS telah menubuhkan sebuah pasukan petugas di peringkat tinggi untuk membuat satu memorandum komprehensif berhubung sungutan jururawat berkenaan.

Katanya, kongres itu memberi keutamaan kepada jururawat kerana 'mereka dianggap sebagai penjawat perkhidmatan kritikal' dan merupakan bahagian penting bagi sistem perkhidmatan jagaan kesihatan awam di negara ini.

''Tanpa jururawat, kualiti sistem perkhidmatan kesihatan awam kita terjejas teruk kerana mereka menyediakan jagaan rawatan yang penting kepada ribuan pesakit setiap hari,'' katanya.

Pada masa ini, jururawat diletakkan dalam kumpulan sokongan bersama-sama dengan lulusan SPM pada gred 29 (RM1,239-RM2,744).

Ahmad Shah berkata, walaupun mereka adalah lulusan SPM, mereka perlu menjalani kursus diploma selama tiga tahun untuk menjadi jururawat am dan oleh itu mereka perlu diletakkan dalam kategori pengurusan dan profesional gred 41 (RM1,471-RM5,222).

Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mendapati jururawat am dibebani dengan tambahan tugas dan tanggungjawab berikutan kekurangan jururawat am dalam perkhidmatan kerajaan yang pesat berkembang.

Ia bukan perkara biasa bagi para jururawat untuk menjaga 50 hingga 60 pesakit bagi setiap giliran jadual kerja selama 10 jam yang memerah mental dan fizikal.

Jururawat berpengalaman juga mendapat permintaan tinggi berikutan pertumbuhan pesat hospital dan klinik swasta tempatan dan seberang laut.

Seorang jururawat am di sektor swasta tempatan memperoleh pendapatan dua kali ganda berbanding rakan mereka dalam perkhidmatan awam manakala di Arab Saudi, ia hampir empat atau lima kali ganda daripada Malaysia.

''Dengan perbezaan dalam pendapatan dan permintaan yang besar bagi mendapatkan khidmat jururawat, dan demi kepentingan negara, kerajaan perlu melihat rungutan mereka dengan segera,'' kata Ahmad Shah. - Utusan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...