Monday, July 27, 2009

Kerajaan tidak lantik ejen - Hishamuddin

SANDAKAN 26 Julai - Kerajaan tidak pernah melantik mana- mana pihak atau individu sebagai ejen rasmi bagi mengendalikan permohonan berkaitan dokumen pengenalan diri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permohonan taraf kewarganegaraan dan pendaftaran lewat sijil kelahiran hanya boleh dibuat melalui saluran rasmi kerajaan iaitu menerusi pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Perkara ini perlu dibangkitkan kerana saya sendiri mendapat maklumat terdapat pihak tertentu di Sabah mendakwa menjadi ejen yang boleh mempercepatkan permohonan berkaitan dengan bayaran perkhidmatan di antara RM5,000 dan RM10,000.

"Kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan di sebalik pengumuman Perdana Menteri untuk mempercepatkan proses membuat keputusan dalam kes-kes tertunggak permohonan kewarganegaraan, sijil kelahiran dan permit masuk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Menurutnya, setiap pemohon perlu merujuk pejabat-pejabat cawangan JPN di setiap daerah dan daerah kecil atau melalui operasi bergerak yang dilaksanakan oleh JPN Sabah.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan sebarang kelulusan terhadap permohonan yang mempunyai hubung kait dengan ejen tertentu.

"Saya juga ingin menasihati orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya mendapat maklumat atau didatangi oleh pihak yang mengaku sebagai ejen," katanya.

Mengulas inisiatif kerajaan mempercepatkan proses berkaitan pengenalan diri, beliau berkata, langkah itu tidak bermakna kerajaan melonggarkan syarat-syarat sedia ada.

Katanya, inisiatif itu adalah untuk memastikan mereka yang berkelayakan dan memenuhi syarat, mendapat pengiktirafan sewajarnya, sekali gus menangani kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.

"Taraf kewarganegaraan adalah suatu keistimewaan dan bukan suatu hak, keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan kepada individu yang menepati syarat dan kriteria yang telah digariskan dalam Perlembagaan," katanya. - Sumber Utusan Malaysia

Berita lain :

- Kakitangan imigresen mengaku tidak bersalah

- Immigration officer accused of selling Myanmar man

1 comment:

  1. percayalah, selagi terlalu byk birokrasi & lebih lama masa proses, maka kan lebih ruang utk 'negotiasi'. Fikirkan kaedah utk mempercepatkan proses dan kurangkan birokrasi.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...