Friday, July 31, 2009

APMM tahan 61 PATI, Marin tangkap 23

JOHOR BAHRU 30 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di muara Sungai Johor dekat Kota Tinggi awal pagi ini.

Kesemua PATI yang ditahan kira-kira pukul 1.20 petang itu terdiri daripada 34 lelaki dan 27 wanita serta lima kanak-kanak, berusia antara tiga bulan dan 60 tahun.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh berkata, hasil pemeriksaan turut menemui serbuk putih di lantai bot dipercayai dadah jenis syabu.

"Ketika rondaan Ops Perkasa Selatan, sebuah bot laju APMM telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, apabila cuba dihampiri, bot itu memecut laju untuk melarikan diri. Namun kami berjaya memintasnya selepas 20 minit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Che Hassan berkata, APMM telah mengenal pasti laluan utama penyeludupan keluar masuk PATI dan akan meningkatkan rondaan di kawasan tersebut.

Sementara itu, dalam kes berasingan seramai 23 PATI ditahan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua di kawasan Tanjung Pengelih, Pengerang semalam.

Komander pasukan itu, Mohd. Khamsani Abdul Rahman dalam kenyataannya berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 dan 43 tahun termasuk seorang pembantu tekong.

"Dalam kejadian itu, dua suspek telah ke laut. Bagaimanapun seorang daripada mereka yang merupakan pembantu tekong berjaya diselamatkan.

"Namun tekong bot itu berjaya meloloskan diri kerana cuaca gelap," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan di perairan negara dengan menghubungi 07-2372222 atau 07-2376122. - Utusan Malaysia.

BERITA LAIN :

- 28 illegals nabbed in Johor
- Bid to smuggle out 61 illegals foiled

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...