Thursday, June 18, 2009

MTUC sambut baik pembantu rumah diberi cuti sehari

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyifatkan langkah kerajaan mewajibkan majikan memberikan cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah sebagai satu cadangan yang baik.

Timbalan Presidennya, Shafie BP Mammal berkata, pelaksanaan cuti tersebut harus dipercepat bagi mengelakkan lebih banyak berlakunya penyelewengan, penganiayaan dan kes bunuh diri melibatkan pembantu rumah.

''Cuti sehari dalam seminggu juga dapat memberi ruang kepada mereka untuk bergaul sesama rakan senegara sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya akan mewajibkan majikan memberikan cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah pada penghujung tahun ini.

Jelasnya, peraturan baru tersebut akan dikuatkuasakan melalui kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani oleh majikan, pembantu rumah dan agensi yang bertanggungjawab membawa mereka masuk ke dalam negara.

Walaupun begitu, kata beliau, majikan bebas memilih hari yang difikirkan sesuai untuk diberikan cuti dan sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerja seminggu tanpa cuti, pembantu rumah harus diberikan pampasan.

Tambah beliau, sekiranya majikan gagal mematuhi terma dan syarat pengambilan pembantu rumah yang baru, mereka boleh didenda sehingga RM10,000.

Dalam pada itu, Shafie menegaskan syarat pemberian cuti sehari dalam seminggu yang dimasukkan ke dalam kontrak pekerjaan adalah wajar.

''Sekiranya kita tidak berbuat demikian, orang di luar negara akan memandang serong kepada orang Malaysia kerana tidak mesra kepada pembantu rumah," katanya.

Tambahnya, cuti sehari tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada golongan itu untuk berehat, malah ia dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik bersama majikan. - Sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...