Thursday, June 18, 2009

Gubal perundangan kawal pekerja asing

KUALA LUMPUR 17 Jun - Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz mempersoalkan ketiadaan satu undang-undang khusus bagi mengawal kebanjiran pekerja asing sehingga menimbulkan trauma di kalangan rakyat.

Beliau berkata, sebilangan rakyat menjadi takut dan berasa bimbang untuk ke mana-mana walaupun berada di tanah air sendiri gara-gara jumlah warga asing yang terlalu ramai.

Tegasnya, kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus bagi menjaga kesejahteraan rakyat dengan mengambil contoh negara jiran yang mana pekerja asingnya tidak berani bertindak sewenang-wenangnya kerana penguatkuasaan undang-undangnya tegas dan keras.

"Beberapa tempat di negara ini, penuh dengan kebanjiran pekerja asing sehinggakan Balakong lebih sesuai dipanggil dengan nama 'Banglakong' dan Pasar Seni pada hujung minggu juga penuh dengan kumpulan ini hingga merimaskan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan perkara tersebut dalam soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop menjawab soalan asal Mohamed yang bertanyakan mengenai tindakan yang boleh diambil bagi mencegah kelakuan tidak senonoh pekerja-pekerja dan pelajar asing.

Menurut Abu Seman, masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya sekadar melihat kelakuan tidak senonoh pekerja asing di sesuatu kawasan yang mengganggu ketenteraman awam dan penduduk tempatan.

Beliau berkata, pada masa ini tidak banyak aktiviti tidak senonoh dilaporkan kepada polis atau Jabatan Imigresen, dan pihak kementerian memang memandang serius senario itu.

"Kementerian amat mengharapkan masyarakat mengubah persepsi supaya lebih peka dan prihatin terhadap masalah ini dengan menggunakan pendekatan 'bukan sahaja melihat kehadiran mereka, tetapi turut merasa kehadiran mereka," katanya.

Tambah Abu Seman, bagi menangani masalah itu polis dan Jabatan Imigresen telah mengambil beberapa tindakan seperti berikut:

*Mengenal pasti kawasan-kawasan bermasalah dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan oleh agensi-agensi berkaitan.

*Mendirikan unit polis bergerak dan pondok bit polis di kawasan bermasalah ini.

*Membatalkan permit kerja bagi pekerja asing dan visa pelajar asing.

*Mendakwa mereka di mahkamah jika didapati perilaku tidak senonoh berkenaan bertentangan dengan mana-mana undang-undang negara. Sumber Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...