Saturday, December 24, 2011

Dua Wanita Filipina Edar Heroin

SHAH ALAM 23 Dis. - Dua wanita warga Filipina dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 71 biji kapsul berisi heroin, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh, Aisa Bello Mansong, 29, dan Elenor Kantor Sadullo, 51, merupakan penafian semata-mata.

Mengikut pertuduhan, Aisa dan Elenor didakwa mengedar dadah heroin seberat 497 gram yang diisi di dalam 71 biji kapsul kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 29 November 2008 di Kedai Ubat Siong Onn, No. 51AG, Jalan Pandan Cahaya 2/3, Taman Cahaya, Ampang dekat sini.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ridha Abdah Subri manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam- peguam bela, Ghazali Taib dan Haris Salleh.

Sepanjang perbicaraan kes tersebut, seramai lima saksi hadir memberi keterangan di peringkat pendakwaan manakala di peringkat pembelaan, hanya kedua-dua wanita itu dipanggil sebagai saksi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...